BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 1, 2009

Seni Sebagai Medium Dakwah


Seni adalah elemen penting dalam kehidupan. Seni secara umumnya menggambarkan seseuatu kehalusan dan keindahan. Namun, seni terdiri daripada pelbagai cabang. Ada yang indah dan dapat memenuhi kehidupan manusia dan membentuk kelembutan serta menjauhi sifat kasar malah ada yang sebaliknya. Justeru agama Islam tidak pernah menolak seandainya ia bersesuaian dengan fitrah dan ketetapan syarak.


Seni Penulisan Kreatif


Penulisan kreatif juga salah satu daripada cabang seni dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Antaranya ialah cerpen, novel, dan sebagainya. Hasil penyelidikan dari UKM mendapati 77.6% remaja mengakui mendapat maklumat baru dengan membaca novel. Responden yang bersetuju mendapat kesedaran penghayatan Islam melalui novel pula ialah 75.7%. Ini jelas menunjukkan penulisan kreatif adalah wajar dan sangat sesuai untuk diaplikasikan sebagai saluran dakwah.


Seni Nyanyian


Seni nyanyian @ seni suara adalah kemerduan alunan yang menjadi terapi kepada jiwa yang tegang dan jasmani yang keletihan. Ia mendamaikan jiwa yang bergolak serta menghiburkan hati dalam kesedihan, melembutkan dan menyejukkan hati yang panas. Liriknya juga boleh membawa kebaikan. Nyanyian adalah antara bidang seni yang diterima secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat. Di Malaysia, kumpulan nasyid bukan sahaja telah membuktikan kemampuan untuk mendapat tempat dihati peminat seni suara, malah menyumbang kepada pendidikan dan dakwah. Mereka menyanyikan lagu-lagu yang membawa keinsafan dan pengajaran. Pada zaman dahulu, Rasulullah s. a. w pernah membawa Aisyah menonton tarian Habasyah. Bagaimanapun Rasulullah s. a. w tetap menjaga adab-adab tersendiri.


Justeru Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:


(a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut.


(b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.


(c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.


(d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang :

• Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.

• Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).

• Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.

• Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau.

• Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.

• Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.

• Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).

• Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.

(e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.

Pembinaan Anak-Anak Berasaskan masjid


Praktikalnya, pendidikan di peringkat keluarga merupakan elemen yang cukup penting dalam melahirkan individu muslim sejati. Di sini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebaik mungkin dalam menyediakan medium tarbiyah yang terbaik untuk anak-anak. Kegagalan pendidikan di peringkat keluarga akan menjurus kepada masalah yang boleh diibaratkan seolah berantai yang akhirnya akan merugikan umat Islam secara amnya.


Selain itu, Di dalam Islam masjid adalah sebagai tempat pembangunan sahsiah induvidu muslim dan pembangunan masyarakat sepanjang zaman. Sebenarnya institusi masjid pada hari ini begitu penting dan masih menjadi tempat dalam pembangunan induvidu dan masyarakat kaum muslimin khususnya. Tanpa masjid, anak-anak tidak mungkin dapat dididik moral, sosial,kerohanian dan keimanannya. Sebenarnya peranan masjid adalah besar kepada pembangunan induvidu dan masyarakat. Masjid adalah sebagai tempat seorang muslim mendengar nasihat dan pengajaran al-Qur’an, mengenal hukum halal haram, mengetahui hal ehwal kehidupan orang Islam, penderitaan kaum muslimin, saling tolong-menolong, bekerjasama dan mengeratkan ikatan persaudaraan di antara satu sama lain.Justeru, mendidik anak-anak melaui institusi masjid merupakan cara yang terbaik untuk mendidik akhlak mereka sebagaimana Rasulullah s.a. w bersabda.

Maksudnya:
" Jika kamu lihat seseorang itu selalu pergi masjid, maka saksikanlah keimanan baginya".

Undang-undang Ciptaan Allah Dan Ciptaan Manusia

Undang-undang Allah bermaksud hukum-hukum yang diperundangkan Allah ke atas hambaNya supaya mereka beriman kepada-Nya yang boleh membawa kebahagiaan sama ada didunia dan di akhirat.

Tahukah Anda Undang-undang Allah mempunyai perbezaan dengan undang-undang yang dicipta oleh manusia.

1) Undang-undang ciptaan manusia masih dapat dipinda dan diubah, mengikut peredaran masa dan tertakluk pada pemerintah, sedangkan undang-undang Ilahi tidak dapat dipinda-pinda atau diubah-ubah, bahkan ia masih dipakai walaupun zaman telah berubah.

2) Undang-undang ciptaan manusia dipegang oleh pemerintah dan dibuat oleh penggubal undang-undang. Manakala undang-undang ciptaan tuhan pula tidak dipegang oleh sesiapa dan sumber perundangannya datang dari Allah Ta’ala sendiri iaitu Al-Quran.

3) Kebiasaan undang-undang ciptaan manusia dibolehkan merayu atau membayar denda yang telah dikurangkan. Ini membuatkan kadang-kadang undang-undang ciptaan manusia boleh berlaku tidak adil dan denda yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan yang disabitkan. Berlainan dengan undang-undang ciptaan Ilahi, orang yang melakukan kesalahan akan diberi balasan yang setimpal dengan kesalahannya.

4) Undang-undang ciptaan manusia hanya berkuatkuasa semasa pesalah itu masih hidup sahaja. Tetapi, undang-undang Allah akan tetap berkuatkuasa walaupun pesalah itu telah meninggal dunia.

Hakikatnya pada hari ini, manusia mengamalkan undang-undang yang dicipta oleh manusia itu sendiri. Justeru, di sini saya menyeru kepada semua kembali lah kita kepada ajaran nabi Muhammad s. a. w. yang menyeru manusia agar mengerjakan apa yang diperintahkan Allah sama ada dari aspek ibadah, ekonomi, politik dan sosial.

Ekonomi Kelantan


Keistimewaan & Tempat Menarik Boleh Kita Lawati di Kota Bharu.

  • Masjid Sultan Ismail.
  • Pasar Besar Kota Bharu (Kaum wanita banyak berniaga di sini).
  • Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
  • Gelanggang Seni (Tempat kegiatan kesenian dan kebudayaan).
  • Perusahaan batik (Perusahaan yang terkenal di Kelantan).

Tahukah Anda Tentang Ekonomi Di Kelantan

Ekonomi kelantan adalah berasaskan pertanian padi, getah dan tembakau. Kegiatan menangkap ikan di persisiran pantai sepanjang 96-kilometer turut merupakan aktiviti ekonomi yang penting. Industri kecil-kecilan yang menggunakan kemahiran tradisi dalam penghasilan kraftangan seperti batik, ukiran kayu dan tenunan songket juga agak meluas. Selain itu, kegiatan pembalakan juga aktif kerana keluasan hutan Kelantan masih banyak. Beberapa tahun kebelakangan ini, pelancongan, terutamanya ke pulau-pulau makin popular.

Pasar Besar Siti Khadijah di pusat bandar Kota Bharu masih merupakan tarikan utama. Kebanyakan peniaga di sini, adalah dari kalangan kaum wanita. Pelbagai barangan dijual seperti pakaian, kraftangan, makanan dan lain-lain lagi ada disediakan kepada pembeli. Ramai yang suka membeli belah di Kelantan kerana barangan yang dijual berpatutan dan menepati citarasa pembeli. Kalau anda mahukan semua itu, jom la pergi membeli belah di Kelantan dan anda akan mendapat barang-barang yang anda impikan.



Wednesday, September 30, 2009

Masalah Gejala Sosial Di Kalangan Mahasiswa


Apa yang hendak saya skopkan di sini adalah berkaitan dengan masalah keterlibatan mahasiswa IPT dalam gejala sosial. Isu gejala sosial di kalangan pelajar hari ini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Setiap hari kita mendapat maklumat mengenai isu gejala sosial yang melibatkan para pelajar khususnya pelajar di ipt di dalam media. Dahulunya, isu keruntuhan moral di kalangan pelajar tidak mendapat liputan yang meluas dalam media. Liputan yang meluas ini sepatutnya memberi kesedaran dan menyentak kita bahawa isu keruntuhan moral ini perlu ditangani dengan segera.Isu keruntuhan moral di kalangan pelajar hari ini melibatkan salah laku kecil sehinggalah kepada perbuatan jenayah berat seperti membunuh, rogol, memukul dan bergaduh yang sering berlaku.


Kalau diimbas kembali orang yang pertama harus dipersalahkan adalah ibubapa. Hal ini berikutan, jika dikaji dengan teliti orang yang paling dekat adalah ibubapa. Jadi seharusnya peranan ibubapa harus mencorakkan anaknya dengan didikan agama yang sempurna. Justeru itu bila didikan agama diberi dengan sepenuhnya, remaja atau anak-anak boleh memikirkan perkara yang baik ataupun yang buruk ketika bercampur dengan masyarakat luar. Selain itu, saya sendiri beranggapan bahawa institusi pendidikan juga memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, para mahasiswa akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan mahasiswa sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja yang makin hari makin menular.


Oleh itu, peranan ibu bapa dan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam mengubah mahasiswa ke arah akhlak yang mulia. Sekali gus menyelesaikan masalah sosial di kalangan mahasiswa itu sendiri.

Ibadah Haji Ramai Yang Gagal Menghayati Iman Nabi Ibrahim


Setelah berjaya menempuh ujian ramadhan dan syawal 1430 Hijrah, umat Islam di seluruh dunia kini menghadapi pula ujian ibadah haji yang ditunaikan dalam bulan Zulhijjah ini. Ibadah haji ini bukan perintah ibadah baru dalam sejarah Islam. Ianya sudah mula ditunaikan oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah s. a. w. lebih 1,400 tahun dahulu. Dalam sejarah ibadah haji, Rasulullah s. a. w. menunaikannya hanya sekali seumur hidup. Di sekitar Tanah Suci ada satu kawasan yang dipanggil Mina ( Muna). Di situlah dikatakan nabi Ibrahim a.s. melakukan korban untuk menyembelih puteranya nabi Ismail a. s. dengan perintah Allah SWT. Dirakamkan di dalam al-Quran bahawa nabi Ibrahim telah diperintahkan supaya mengorbankan puteranya itu. Perintah itu disampaikan kepadanya berupa mimpi.


Apabila baginda menyatakan perintah itu kepada nabi Ismail a. s. baginda menyerahkan perkara itu kepada ayahandanya kerana baginda sendiri sentiasa mematuhi perintah Allah. Nabi Ibrahim hampir mengalirkan air mata mendengar jawapan itu.Setelah itu, sembelihan pun dijalankan, tetapi Allah mengganti Ismail a. s. Dengan seekor kibas untuk menjayakan perintah sembelihan itu. Nyata bahawa ibadah penting yang diasaskan oleh nabi Ibrahim a. s sudah menjadi sebahagian daripada ajaran umat nabi Muhammad s. a. w. sehingga masih diteruskan oleh jutaan umat Islam sampai ke hari kiamat. Maka umat Islam pun dianjurkan supaya mencontohi iman nabi Ibrahim a. s. sesudah menghayati sunnahnya kerana tidak mungkin ada manusia lain yang sanggup mengorbankan anaknya sendiri demi mematuhi perintah Allah walaupun syaitan cuba menggodanya supaya menolak perintah Allah. Malangnya pada hari ini, kita dengar dan kita lihat sendiri sudah ada manusia yang sanggup membunag anak kecil sendiri setelah melahirkannya secara haram walaupun Allah mengharamkan tindakan seperti itu.


Dan ketika jemaah haji melakukan lontaran jamrah di Mina berapa ramai daripada mereka yang sanggup mencontohi tindakan nabi Ibrahim a. s. yang merejam batu kepada syaitan kerana cuba menggodanya supaya menolak perintah Allah SWT? Dari satu segi nyata bahawa ibadah haji bertujuan supaya orang mukmin menghayati iman nabi Ibrahim a. s. tetapi berapa ramai yang berjaya menghayatinya sehinggga mereka pulang ke tanah air bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan. Malangnya menurut anggaran Rasul lebih ramai yang pulang ke tanah air membawa haji mardud (ditolak) sama seperti ramai yang tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasa mereka selain dari lapar dan dahaga. Wallahuallam.

Ulama Jangan Tafsir Agama Mengikut Politik


Kalau dilihatkan hari ini, di negara kita terlalu banyak pertelingkahan berlaku di antara orang-orang melayu terutamanya dari segi hal ehwal agama Islam, walhal kita sendiri tahu di Malaysia ini majoriti kita adalah pengikut Ahli Sunah Waljamaah di mana semestinya segala amalan dan kepercayaan adalah sama.Saya sendiri berasa sungguh hairan kerana ini semua berpunca daripada bijak pandai yang mengetahui dan berkebolehan dalam mentafsirkan ilmu agama yang suci ini. Dan yang paling menyedihkan, praktiklnya dilakukan oleh mereka yang kurang pengetahuan tentang ilmu agama dan menerima bulat-bulat apa yang telah dikatakan oleh ulama-ulama yang mereka ikuti dimana mereka beranggapan semestinya itu adalah benar dan betul.Satu golongan ulama mengatakan pendapat mereka benar dan satu lagi mengatakan pendapat mereka juga benar. Tidak kurang ada yang berperanan duduk di atas pagar.

Persoalannya kalau ulama-ulama ini yang berpengetahuan tentang agama pun bertelingkah tentang kebenaran masing-masing dan tidak ada pula yang berani memutuskan pendapat manakah yang benar mengikut kehendak agama, ke manakah pula mereka yang tidak termasuk dalam golongan ulama yang tidak berpengetahuan tentang agama? ulama manakah yang patut mereka ikut? Kalau ulama pas tidak betul, ulama kerajaan tidak betul, ulama atas pagar tidak betul, jadi ulama manakah yang betul? Adakah ’ulama kristian’ atau ’ulama Hindu’ atupun ’ulama Buddha?. Jadi fikirkanlah wahai mereka yang dipanggil ulama -ulama sekalian, janganlah sampi nanti ada yang berfikiran kalau semua ulama melayu yang beragama Islam sudah tidak betul, mungkinkah yang betul adalah ulama-ulama lain yang tidak ada pertelingkahan di Malaysia ini.

Bersatulah wahai ulama-ulama sekalian dalam memperkatakan sesuatu tentang agama Islam, jangan mentafsirknnya mengikut ajaran politik, tetapi tafsirknlah mengikut ajaran agama yang sebenarnya, yang mudah difahami oleh mereka yang bukan ulama demi generasi akn datang.

Ibu: Tugas Mengandung dan Mendidik.



Apabila tiba bulan Disember, hari ibu diraikan bagi memperingati Hari Ibu. Memperingati hari ibu sama ertinya bagaimana kita mengingati ibu kita yang mengasuh dan mendidik kita semasa kecil. Juga mengingati betapa pentingnya peranan ibu dan besarnya jasa ibu. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud” ”Syurga itu ada di telapak kaki ibu”Sebenarnya peranan ibu merupakan cermin dalam mendidik anak-anak berakhlak mulia. Keluarga sebagai lembaga pendidikan yang pertama dan utama, maka ibubapa adalah pendidik, pembimbing, dan pembina dalam keluarga. Pendidikan budi pekerti, akhlak dan agama harus bermula dari keluarga sebelum anak melangkah ke dunia luar yang penuh cabaran. Jangan biarkan anak-anak menemukan jalan kehidupan sendiri tanpa kawalan daripada ibubapa. Berita melalui media massa baik elektronik maupun cetak banyak menceritakan tentang panorama kelabu kehidupan remaja masa kini contohnya, berlaku pencurian, perompakan, pemerkosaan, pembunuhan dan lain-lain lagi. Hal ini, menjadi peringatan kepada keluarga agar tetap mendidik dan membimbing ank-anak. Berbagai persoalan yang timbul mengenai kes ini. Adakah keluarga harus dipersalahkan atau sekolah atau masyarakat?

Ketiga-tiga institusi ini memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing, pendidikan berlangsung seumur hidup dan dilaksanakan di dalam lingkungan rumah tangga, sekolah dan masyarakat. Kerana itu, pendidikan adalah tanggungjawab bersama antara keluarga, masyarakat dan pemerintah, tanggungjawab pendidikan diselenggarakan dengan kewajipan mendidik. Secara umumnya mendidik ialah membantu anak-anak dalam pengembangan daya-daya dan penetapan nilai-nilai . Islam menemptkan ibubapa sebagai ketua keluarga yang berkewajipan untuk memelihra ahli keluarga dari tindakan negatif yang merosakkan masa depan. Allah SWT berfirman ” Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka . (al-Tahrim :6) Berbagai bacaan, komik, siaran tv , vcd, tontonan dan permainan yang boleh melekakan anak-anak. Hal ini sedikit sebanyak boleh mendatangkan kesan yang buruk dan merosakkan akhlak anak-anak.

Justeru, keluarga sebagai institusi sekaligus tempat tinggal dan juga tempat berteduh perlu menanam sifat prihatin terhadap penjagaan ank-anak. Keluarga seharusnya menjadi ” home sweet home” yang dibumbui cinta, kasih sayang, kelembutan, pengertian dan kedamaian. Ibubapa bukan sahaja sebagai orang tua, tetapi juga sebagai kawan, teman, kakak, nenek, sebagai tempat untuk anak-anak berkongsi cerita. Artinya keluarga bukan sahaja sebagai tempat tinggal tetapi juga sebagai arena untuk mencari hiburan dan rekreasi. Keluarga merupakan tempat mendidik untuk melahirkan anak-anak yang beriman, berilmu, berakhlak dan menjadi generasi yang mempunyai peribadi yang unggul pada masa hadapan. Ia bukan generasi yang rosak akhlaknya dan ibubapa sebagai agen pengubah anak-anak untuk masa akan datang.

Malaysia Negara Orang Islam


Sheikh Muhammad Abu Zuhrah berpendapat bahawa Negara Islam (Darul Islam) ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam. Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim. Muhammad bin Hasan As-Syaibani, seorang ulama terkemuka dari kalangan Mazhab Hanafi pula mentakrifkan negara Islam itu ialah negara yang dikuasai oleh umat Islam, dalam mana orang-orang Islam beroleh keamanan di dalamnya. Majoriti ulama berpendapat, jika sebuah negara ingin diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, unsur utama yang perlu ada bagi negara itu ialah al-Qur’an dan sunah menjadi teras kepada perjalanan pentadbiran, perlembagaan negara tersebut. Malangnya aspek ini tidak ada di Malaysia. Menurut Nashruddin Mat Isa ( Setiausaha Agung Pas ) beliau tidak menafikan Malaysia adalah negara orang Islam, tetapi ia tidak memenuhi takrifan sebuah negara Islam. Terdapat pelbagai perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai konsep negara Islam. Secara jelas , ulama mengklasifikasi negara sebagai Dar al-Islam, Dar al-Kufr, Dar al-’Ahd.

Adakah Malaysia sekarang boleh dikatakan negara Islam? Bagaimana kita mendakwa Malaysia sebuah negara Islam sedangkan kita mempunyai kasino terbesar di Asia, kilang arak yang besar, berlaku penyelewengan kuasa yang hebat, penahanan orang tanpa perbicaraan dan sebagainya, yang bercanggah dengan ajaran Islam. Negara Islam juga tidak melaksanakan undang-undang mengikut al-Qur’an dan Sunah. Dalam soal undang-undang contohnya. Terdapat banyak undng-undang Malaysia yang bertentangan dengan undng-undang Islam contohnya, qisas dan takzir dalam kes bunuh.Undang-undang substantif dan prosedur Islm perlu dilaksanakan secara bersama dan menyeluruh. Tetapi di negara ini, ia tidak dirujuk, malah undng-undang Islam seperti undng-undang jenayah sering digambarkn negatif.


Oleh itu, kita tidak perlu menungggu sehingga orang ramai faham undang-undang Islm untuk melaksanakannya, kerana majoriti rakyat sekarang pun tidak faham undang-undang sivil yang diamalkan. Malah undang-undang Islam pernah pun diamalkan di Tanah Melayu dahulu, di perak, Pahang, dan Melaka sebelum digantikan dengan undang-undang Inggeris. Maka sepatutnya kita berusaha untuk megamalkan semula undang-undang Islam.


Kita Tidak Percaya Dengan keimanan Sendiri


Pengertian aqidah secara bahasa berasal daripada perkataan "‘akidah" diambil dari kata dasar "al-‘aqdu" iaitu ar-rabth(ikatan), al-Ibraam (pengesahan), al-ihkam(penguatan),at-tawatstsuq(menjadi kokoh, kuat), asy-syaddu biquwwah(pengikatan dengan kuat), at-tamaasuk(pengokohan) dan al-itsbaatu(penetapan). Di antaranya juga mempunyai arti al-yaqiin(keyakinan) dan al-jazmu(penetapan). Manakala pengertian aqidah secara istilah iaitu perkara yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa yang tidak dicampuri oleh keraguan dan kebimbangan. Jika hal tersebut tidak sampai pada tingkat keyakinan yang kukuh, maka ia tidak dinamakan aqidah. Dinamakan aqidah, karena orang itu mengikat hatinya diatas hal tersebut.

Kebebasan beragama yang semakin berleluasa pada hari menyebabkan berlaku kepincangan terhadap umat Islam. Suara-suara hak asasi manusia yang menuntut setiap orang mempunyai kebebasan dalam kehidupannya juga mengundang padah yang lebih hebat. Hari ini setiap agama berusaha mengajak orang ramai mengikuti kepercayaan mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung. Setiap agama mengajak kepada kebaikan. Namun sejauh mana kita sebagai khalifah memainkan peranan, Islam sebenarnya layu di tangan pendukungnya sendiri.

Justeru, bagi saya sikap dan jati diri orang Islam harus bermula dari dalam. Masyarakat hari ini harus didekati sebagaimana sejarah Rasulullah s. a. w. mengajak dan mengajar umatnya mengenai ’tauhid’. Janganlah diremeh-remehkan perkara kecil seperti bagaimana jenazah mangsa-mangsa tsunami harus dikebumikan. Sedangkan musibah yang lebih besar sebenarnya menanti di hadapan seperti kehilangan jati diri, kekuatan ummah yang kian rapuh, kristianisasi yang kian menjadi pilihan masyarakat bukan sahaja bagsa lain tetapi juga orang Melayu. Jika ia tidak dibentuk dalam diri setiap orang Islam, usahlah ditelagahkan tentang murtad, tentang penghinaan yang diterima masyarakat Islam, tentang ilmu dan teknologi yang kian dipelopori masyarakat bukan Islam kerana umat Islam tidak memainkan peranannya sebagaimana yang dituntut.

Di sini timbul persoalan, mengapa Kristian dan Yahudi mampu menyampaikan mesej yang begitu kuat kepada bangsanya dan bergerak dengan begitu pantas dan bersistematik. Tetapi malangnya umat Islam kenapa masih ketinggalan dalam pendidikan tentang ketuhanan. Maksud saya yang lebih mendalam tentang ketuhanan bukannya tentang hukum. Sekirannya dengan menjatuhkan hukum itu boleh, ini tidak boleh, itu dosa ini dosa tidak memadai kerana ia akan menjauhkan remaja hari ini yang begitu terdedah kepada pelbagai cabaran. Hakikatnya kita memang tidak mampu mengubah hukum tetapi gunakanlah pendekatan yang lembut, bersikap terbukalah menanggani isu-isu semasa yang membabitkan ummah, bukannya bertelagah di khalayak umum dan mempamerkan kejelekan bangsa Melayu dan umat yang tidak bersatu. Sepatutnya umat Islam diajar untuk lebih meyakini keimanannya supaya tidak terjerumus dalam sesuatu perkara yang dapat membatalkan keimanan mereka.



Konsep Blog Saya

"Mati itu pasti" adalah konsep blog saya. Buat pengetahuan pembaca, blog ini sebagai salah satu peringatan, medium perkongsian dan sebaran kebaikan serta sebagai medium dakwah di alam maya ini. Selain itu, kewujudan laman web atau pun blog ini juga telah memberi ruang yang lebih luas untuk saya melontarkan pandangan atau idea-idea bernas tentang pelbagai isu yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.


Sebenarnya, kewujudan blog ini telah banyak membantu saya dalam melatih kemahiran penulisan saya. Alhamdulillah, kini telah ramai yang mempunyai blog sendiri. Saya rasa gembira sekali. Matlamat kewujudan blog ini secara umumnya telah tercapai. Harapan saya agar sahabat-sahabat bacalah blog ini dengan niat ikhlas untuk mendapat ilmu dan kebaikan. InsyaAllah sahabat-sahabat akan meperolehi ganjaran daripada-Nya.


Saya memohon berbanyak kemaafan andaikata dalam blog sy ini terdapat tulisan yang melukai dan meyakiti mana-mana pembaca. Semoga Allah merahmati kalian.Tidak lupa juga saya sangat menghargai komen dan pandangan daripada kalian. Semoga Blog ini sentiasa membawa manfaat kepada pembaca sekalian.

Monday, August 24, 2009



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين. قال رب اشرح لي صدري ويسرلي أمري وحلل عقدة من لسان يفقهوا قولي

Salam

Pertama sekali saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi membaca blog saya yang serba ringkas ini. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, ini adalah blog yang wajib saya buat untuk sabjek teknologi maklumat dakwah yang di selia oleh Dr. Zulkiple Abd. Ghani. Semoga sahabat-sahabat mengambil sebanyak mungkin maklumat yang akan saya samapaikan ini.


Kematian Itu Pasti


Mati itu pasti
Itulah hakikat yang perlu kita terima
Cuma kita tidak tahu
Bila, di mana dan bagaimana

Soal kematian sering bermain di fikiranku
Kerana aku selalu mendengar kematian
Aku sentiasa melihat ratapan
Dan air mata ahli keluarga si mati

Aku juga melihat pelbagai kematian
Lemas, dibunuh, kemalangan dan banyak lagi
Semua ini mendatangkan keinsafan dalam diriku
Hati ini sayu melihat wajah-wajah insan yang
terbujur kaku


Aku hanya mampu berdoa agar
Si mati mendapat keampunan daripada Tuhan
Agar si mati di terima Yang Maha Esa
Agar si mati bahagia di sana

Aku juga terfikirkan diriku
Jika ajalku sudah tiba
Adakah aku bersedia saat itu?
Aku gerun memikirkannya.....

Lantaran itu, aku perlu berubah
Menjadi insan yang lebih baik
Membuat kebaikan dan mengelakkan kemungkaran
Agar aku kembali dengan tenang