BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 1, 2009

Seni Sebagai Medium Dakwah


Seni adalah elemen penting dalam kehidupan. Seni secara umumnya menggambarkan seseuatu kehalusan dan keindahan. Namun, seni terdiri daripada pelbagai cabang. Ada yang indah dan dapat memenuhi kehidupan manusia dan membentuk kelembutan serta menjauhi sifat kasar malah ada yang sebaliknya. Justeru agama Islam tidak pernah menolak seandainya ia bersesuaian dengan fitrah dan ketetapan syarak.


Seni Penulisan Kreatif


Penulisan kreatif juga salah satu daripada cabang seni dan mempunyai peminatnya yang tersendiri. Antaranya ialah cerpen, novel, dan sebagainya. Hasil penyelidikan dari UKM mendapati 77.6% remaja mengakui mendapat maklumat baru dengan membaca novel. Responden yang bersetuju mendapat kesedaran penghayatan Islam melalui novel pula ialah 75.7%. Ini jelas menunjukkan penulisan kreatif adalah wajar dan sangat sesuai untuk diaplikasikan sebagai saluran dakwah.


Seni Nyanyian


Seni nyanyian @ seni suara adalah kemerduan alunan yang menjadi terapi kepada jiwa yang tegang dan jasmani yang keletihan. Ia mendamaikan jiwa yang bergolak serta menghiburkan hati dalam kesedihan, melembutkan dan menyejukkan hati yang panas. Liriknya juga boleh membawa kebaikan. Nyanyian adalah antara bidang seni yang diterima secara meluas oleh segenap lapisan masyarakat. Di Malaysia, kumpulan nasyid bukan sahaja telah membuktikan kemampuan untuk mendapat tempat dihati peminat seni suara, malah menyumbang kepada pendidikan dan dakwah. Mereka menyanyikan lagu-lagu yang membawa keinsafan dan pengajaran. Pada zaman dahulu, Rasulullah s. a. w pernah membawa Aisyah menonton tarian Habasyah. Bagaimanapun Rasulullah s. a. w tetap menjaga adab-adab tersendiri.


Justeru Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:


(a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut.


(b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.


(c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.


(d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang :

• Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.

• Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).

• Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.

• Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau.

• Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.

• Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.

• Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).

• Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.

(e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.

1 comments:

NOR AZRINA IDAYU BT AHMAD said...

Sesungguhnya,kesenian merupakan suatu elemen penting bagi pendakwah dalam menyampaikan dakwah mereka. Kesenian dan Islam kini sudah sinonim kerana Islam membenarkan hburan selagimana ia tidak berlanggr dengan batas-batas syariat seperti adanya penayangan tubuh badan dan maksiat